Pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing merakamkan kenangan ketika terlibat dengan aktiviti yang dijalankan di Selangor Fruit Valley pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Riadah dalam ladang sempena cuti sekolah di Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 12 DIS: Orang ramai dijemput mengunjungi Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya sempena cuti sekolah ini bagi merasai pengalaman beriadah dalam ladang.

Pusat agro pelancongan negeri memaklumkan pelbagai pakej dan aktiviti menarik menanti pengunjung yang ingin memenuhi aktiviti cuti sekolah bersama keluarga.

“Pelbagai aktiviti menarik menanti anda. Jom ciptakan kenangan bersama orang tersayang di sini, macam-macam pakej kami sediakan di SFV untuk anda semua merasai suasana dalam ladang,” katanya di Facebook.

Rusa Timorensis yang berasal dari Indonesia dan Timor Timur antara tarikan orang ramai di
Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya. Foto Facebook Selangor Fruit Valley

Menerusi laman sesawang selangorfruitvalley.my pakej lawatan ladang yang ditawarkan adalah pakej domestik dewasa, pelajar dan warga emas merangkumi pelbagai aktiviti pilihan termasuk melawat taman arnab, kambing dan itik.

Selain memetik buah-buahan, menyediakan telur masin, menangkap ikan dan menanam sayur hidroponik, pengunjung juga boleh berkayak dan merasai keenakan air kelapa pandan dari ladang SFV.

Sekumpulan pengunjung dibantu petugas SFV dibawa menjelajah sekitar kawasan Selangor Fruit Valley dengan trem pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Perkhidmatan tram turut disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung di dalam ladang seluas 1,000 hektar dengan lebih 20 tanaman buah-buahan, kebun sayuran.

SFV yang menawarkan kawasan rekreasi dan riadah berkonsepkan pertanian diiktiraf sebagai pengeluar madu lebah kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

Harga tiket bagi warganegara ialah RM15 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM20 (dewasa), manakala pelancong antarabangsa RM30 (kanak-kanak dan warga emas) serta RM40 (dewasa).

Selangor Fruits Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan kepada pengunjung yang ingin menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto ihsan Tourism Selangor

Pengarang :