Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (dua, kiri) bersama Pengarah Perkeso Negeri Selangor Ismail Abi Hashim (dua, kanan) dan Pengerusi Kumpulan Media Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid (tiga, kiri) menyerahkan sumbangan kepada waris ketika Program Skuad Prihatin Perkeso dan Serahan Faedah di Seksyen 4, Kota Damansara pada 12 Disember 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Manfaat carum Perkeso, waris terima faedah pencen bulanan

PETALING JAYA, 12 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyerahkan bayaran faedah pencen penakat dan pengurusan mayat kepada waris kakitangan stesen penyiaran TV3 yang meninggal dunia akibat darah tinggi.

Pengarahnya Ismail Abi Hashim berkata isteri Allahyarham Azman Hassan iaitu Roslina Ramli, 45, menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan pencen penakat RM2,946.67 sebulan sepanjang hayat.

“Bagi faedah pencen penakat, bayaran dibuat setiap bulan kepada isteri dan dibahagikan sama rata kepada lima anak arwah yang kini berusia lima hingga 19 tahun sehingga umur mereka 21 tahun.

“Semakan kami mendapati arwah mencarum di bawah Akta 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di bawah majikannya iaitu Media Prima Berhad,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Flat Gugusan Mawar, Kota Damansara di sini, hari ini.

Serahan faedah termasuk Kotak Prihatin berisi barangan keperluan asas disampaikan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim. Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid

Dalam pada itu, Ismail menyeru semua majikan dan orang ramai lebih cakna untuk membuat caruman Perkeso bagi menjamin masa depan mereka terutama apabila berdepan musibah.

“Caruman Perkeso menjadi perlindungan buat keluarga jika perkara tidak diingini berlaku pada pekerja terbabit. Ia akan membantu keluarga meneruskan kehidupan terutama waris yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu Roslina bersyukur serta berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah caruman yang membantu meringankan tanggungan keluarga.

“Alhamdulillah bantuan Perkeso ini dapat digunakan untuk memenuhi keperluan asas keluarga memandangkan saya tidak berkerja dan dua orang anak melanjutkan pengajian di universiti dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang memerlu kos,” katanya.

(Dari kiri) Pengarah Perkeso Negeri Selangor Ismail Abi Hashim, Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Pengerusi Kumpulan Media Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid menyerahkan sumbangan kepada waris ketika Program Skuad Prihatin Perkeso dan Serahan Faedah di Seksyen 4, Kota Damansara pada 12 Disember 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Pengarang :