PETALING JAYA, 12 DIS: Pusat Khidmat Masyarakat Kota Damansara akan mempergiatkan kempen bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mencarum bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Wakil rakyatnya Muhammad Izuan Ahmad Kasim turut berhasrat meluaskan kempen ke semua masjid dan surau melalui kerjasama dengan Perkeso Selangor bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.
“Sebagai permulaan, kami mulakan dengan memastikan semua petugas di pusat khidmat DUN Kota Damansara mencarum Perkeso.
“Kemudian kami aktif membuat kempen melalui program bertemu rakyat seperti Hari Karnival Kota Damansara dan pemberian baucar Jom Shopping selain mereka diberi taklimat oleh Perkeso
“Insya-Allah peringkat DUN Kota Damansara hasrat untuk meluaskan hebahan kempen caruman di seluruh masjid dan surau mulai tahun hadapan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/perkeso-1-500x375.jpg.webp)
Ditemui selepas menyerahkan bayaran pencen penakat kepada waris kakitangan TV3 di Gugusan Mawar di sini, Izuan menyatakan penghargaan kepada Perkeso atas keprihatinan terhadap keluarga Allahyarham Azman Hassan yang meninggal dunia pada 27 November lalu.
“Pemergian arwah yang berkhidmat selama 30 tahun di TV3 amat mengejutkan. Beliau sangat aktif dalam aktiviti bersama komuniti setempat.
“Semoga sumbangan faedah dari Perkeso membantu keluarga arwah selain pencen penakat RM2,946.67 sebulan akan membantu untuk bayaran sewa rumah, bil elektrik dan keperluan asas lain,” katanya.
Izuan menambah, pihaknya turut bersedia menghulurkan bantuan tambahan kepada balu arwah, Roslina Ramli, 45, mengikut keperluan.