Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia di STDC kampus Shah Alam pada 12 Disember 2023. Foto RADIN WAZIR/ PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

STDC-KPM bangun modul kurikulum automasi, digital seiring keperluan industri

SHAH ALAM, 12 DIS: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pembangunan modul kurikulum automasi dan pendigitalan industri.

Pengerusi Lembaga Pengarah STDC Mohd Nazri Noh berkata kerjasama itu bertujuan meningkatkan tahap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang berkaitan seiring keperluan semasa industri.

“Kerjasama melibatkan penerapan elemen pensijilan profesional daripada STDC untuk disulam ke dalam kurikulum kolej vokasional sebagai nilai tambah kebolehpasaran pelajar serta pembangunan tenaga pengajar dalam pensijilan profesional.

“Ia termasuk tenaga pakar dan kemahiran daripada industri selaku penasihat teknikal dalam pembangunan modul pendidikan TVET terkini serta program TVET baharu seiring keperluan semasa industri,” katanya.

Beliau berucap sempena majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara STDC dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM di STDC kampus Shah Alam, hari ini.

Mohd Nazri Noh berkata usaha sama itu turut meneroka program baharu bagi membangunkan bakat generasi muda yang berperanan menaik taraf sosioekonomi masyarakat.

“Jalinan kerjasama ini akan meneroka program pendidikan latihan kemahiran dakan bidang teknologi terkini tidak terhad kepada keperluan revolusi industri (IR4.0),” katanya.

Terdahulu MoU ditandatangani Mohd Nazri mewakili STDC manakala KPM diwakili Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Zulkernai Fauzi. Majlis itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

STDC adalah institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti dan berdampak tinggi ke arah revolusi industri 4.0.


Pengarang :