Aksi skuad takraw Malaysia menentang Thailand pada Sukan Asia di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua, China pada 29 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sepak takraw: Tubuh skuad negara B tahun depan, 25 nama disenarai pendek

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal menubuhkan skuad Malaysia B, iaitu kesinambungan kepada usaha mengetengahkan atlet pelapis sedia ada pada tahun hadapan.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya telah menyenarai pendek 25 pemain, antaranya atlet terlibat dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan daripada jumlah itu hanya 15 pemain akan terpilih menyertai skuad tersebut.

“Sebelum ini ada buat pemilihan pemain di bawah peringkat 21 tahun, cumanya kesinambungan daripada itu kita minta Majlis Sukan Negara (MSN) bantu dan mereka telah bersetuju.

“Latihan buat atlet tersebut bagaimanapun dibuat secara berfasa. Mungkin dalam setahun empat kali latihan serta diadakan dalam dan luar negara,” katanya selepas ditemui pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan di MSN, di sini hari ini.

Mohd Sumali berkata mereka juga berpeluang untuk diserap masuk ke dalam skuad senior, jika mempamerkan prestasi membanggakan dalam tempoh setahun (2024).

Dalam perkembangan lain, Sumali berkata pihaknya telah menyenaraikan 14 pemain untuk menggalas cabaran negara, bagi mengharungi beberapa kejohanan pada 2024 iaitu Kejohanan Asia di Korea Selatan (April), Piala Dunia di Kuala Lumpur (Mei) dan Piala Raja Thai di Thailand (Julai).

Mohd Sumali dalam masa sama memaklumkan, PSM bakal mengumumkan pengganti penolong jurulatih skuad sepak takraw negara Suhaimi Yusof dalam masa terdekat.

Suhaimi dipercayai diserang angin ahmar dan mengalami sakit saraf selepas pulang daripada temasya Sukan SEA Kemboja, Mei lepas.

– BERNAMA


Pengarang :