Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Nibong Tebal pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu graduasi mewah, sekolah perlu bincang dengan ibu bapa elak terbeban

SHAH ALAM, 12 DIS: Pihak sekolah harus berbincang dengan ibu bapa sebelum menganjurkan majlis termasuk graduasi pelajar di hotel atau tempat mewah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan langkah itu bagi mengelak ibu bapa terbeban meski sekolah mempunyai autonomi untuk membuat sebarang majlis.

“Perbincangan mengenai penganjuran mana-mana majlis mesti dibuat antara ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ini bagi memastikan majlis itu bersesuaian mengikut kemampuan ibu bapa dan dipersetujui secara bersama,” katanya di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media hari ini berhubung trend penganjuran majlis sekolah di hotel dengan bayaran mencecah ratusan ringgit hingga membebankan ibu bapa.

Justeru, Fadhlina berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan rasional antara kedua-dua pihak.

“Saya percaya ruang perbincangan merupakan jalan terbaik bagi mengelak timbul lagi isu berkenaan pada masa depan,” katanya.

 


Pengarang :