Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tengah) bersama Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman bergambar bersama kakitangan PKNS dan MBSA pada program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Taman Tasik Shah Alam pada 13 Disember 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

PKNS sumbang RM30,000 kepada MBSA, jayakan ‘Shah Alam Trees For Life’

SHAH ALAM, 13 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbangkan RM30,000 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjayakan program ‘Shah Alam Trees For Life’.

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata MBSA membelanjakan dana itu untuk menanam 2,500 batang pokok pelbagai spesies antaranya jasmin, kelat paya dan bonsai di sekitar Taman Tasik Shah Alam, di sini.

“Ini merupakan program ‘Shah Alam Trees For Life’ kedua kerjasama antara PKNS dan MBSA sekali gus membuktikan komitmen erat kedua-dua pihak dalam menjaga alam sekitar.

“Inisiatif ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat kita dalam menyokong agenda negara untuk menggalakkan pemuliharaan alam semulajadi seiring dengan PKNS sebagai sebuah organisasi memperjuang kemampanan,” kata Dato’ Mahmud Abbas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Taman Tasik Shah Alam di sini hari ini.

Program berkenaan disempurnakan Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (kiri) menyerahkan cek cura RM30,000 kepada Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman bagi menjayakan program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Ibu Pejabat PKNS pada 13 Disember 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Mahmud berkata sumbangan sama akan diperluas kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa akan datang bagi melestarikan alam sekitar.

“Namun, tumpuan tidak hanya diberi kepada program penanaman pokok sahaja sebaliknya PKNS juga akan berusaha membina lebih banyak pembangunan berkonsepkan bahan rendah karbon,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (empat, kanan) bersama Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman (empat, kiri) melakukan gimik perasmian menanam pokok pada program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Taman Tasik Shah Alam pada 13 Disember 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pengarang :