Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar di hadapan panel solar selepas majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Fasa pertama inisiatif tenaga lestari sedia bekalan air lebih bersih lengkap 2025

SHAH ALAM, 14 DIS: Fasa pertama Visi Tenaga Net Zero 2040 yang diperkenal Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dijangka lengkap menjelang 2025.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha menghasilkan tenaga boleh baharu itu mampu menyedia bekalan air terawat lebih bersih dan selamat kepada 9.1 juta pengguna.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah ketika sidang media selepas lawatan bersama media di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Fasa pertama dijangka lengkap sepenuhnya pada tahap tujuh peratus pada 2025, dan 52 peratus (fasa kedua) pada 2030 dan sepenuhnya (fasa ketiga) pada 2040.

“Antara kelebihan inisiatif ini ialah dapat mengurangkan kos operasi Air Selangor sekali gus pengguna boleh menikmati bekalan air terawat yang bersih dan selamat yang dihasilkan menggunakan tenaga boleh baharu,” kata Ir Abas Abdullah dalam sesi temu bual bersama Andrew Wilson di COP28 yang disiarkan di Facebook.

Kakitangan Heliosel memantau panel solar ketika majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 30 November lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan inisiatif yang dilaksana Air Selangor itu berupaya mengurangkan kos operasinya sebanyak RM7 juta setahun berbanding RM387 juta yang perlu dibayar sebelum ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga yakin Selangor menjadi negeri pertama mencapai status neutral karbon lebih awal daripada yang ditetapkan nasional pada 2050 dengan inisiatif Air Selangor itu menjadi sebahagian daripada matlamat berkenaan.

Sementara itu, dalam temu bual sama, Abas memaklumkan Air Selangor terus melaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan yang memerlukan menerusi program Sesama Mara.

“Air Selangor bukan sahaja bertanggungjawab dalam memastikan bekalan air bersih tetapi turut laksana pelbagai program bantuan seperti agihan kotak makanan dan pendidikan.

“Dengan usaha ini Air Selangor mampu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan pada masa sama menyokong inisiatif Kerajaan Negeri menerusi pemberian air percuma yang kini memanfaat lebih 300,000 keluarga, katanya.


Pengarang :