AGENDANASIONAL

Kementerian siasat insiden guru kasari murid dalam majlis rasmi

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian seorang guru didakwa mengasari seorang murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah.

KPM dalam kenyataan memaklumkan golongan pendidik dinasihati supaya sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme perguruan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.

“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Azman Othman @ Abdullah meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Saya tak dapat komen lebih lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan. Harap semua bertenang dan tidak membuat andaian sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tular menerusi laman sosial, satu video berdurasi 41 saat memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap seorang murid dengan video itu dipercayai dimuat naik oleh seorang daripada guru sekolah berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

-BERNAMA


Pengarang :