SHAH ALAM, 14 DIS: Lencongan trafik sementara bagi laluan motosikal ke laluan kecemasan utama di Lebuhraya Shah Alam (LSA) akan dilaksanakan secara berperingkat di kedua-dua arah bermula hari ini hingga 15 Januari 2024.
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dalam kenyataan memaklumkan laluan itu melibatkan kilometer (KM)22.7 hingga KM23.1 dan KM24.0 hingga KM24.3 (arah Timur) serta KM24.3 hingga KM24.0 dan KM23.1 hingga KM22.9 (arah Barat).
Menurut WCE pelaksanaan lencongan sementara itu bagi membolehkan kerja pembinaan Persimpangan SAE, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping – Banting) dijalankan.
“Pengguna LSA dinasihati berhati-hati serta mematuhi arahan papan tanda dan petugas trafik di lokasi yang berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja tersebut,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA