KAJANG, 15 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Surau Al Kauthar, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Ketibaan beliau sekitar jam 1.15 tengah hari disambut Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan pengerusi surau Nazri Daus serta para jemaah.
Anwar kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Raja Berdaulat, Menjunjung Kasih Titah Ditaat’ yang disampaikan Ustaz Afif Safwan manakala solat Jumaat diimamkan Ustaz Zaid Zulhairi.
Perdana Menteri yang berbaju Melayu hijau muda kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum beredar meninggalkan surau kira-kira jam 2 petang.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/PM-1-3-500x333.jpg.webp)
Terdahulu beliau meluangkan masa masa kira-kira 20 minit menikmati hidangan tengah hari di Restoran Mak Kimbong, Seksyen 4 dekat sini.
Kari kepala ikan yang merupakan makanan kegemaran Anwar turut dihidang bersama beberapa menu lain antaranya udang masak lemak cili api dan ikan bakar sambal berlado.
Aktiviti makan tengah hari dan solat Jumaat merupakan program mingguan Anwar sejak sejak setahun mengetuai Kerajaan Perpaduan bagi bertemu rakyat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/pm-3-1-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/pm2-500x333.jpg.webp)