Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kiri) menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sebaik tiba di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati, Kuala Selangor pada 15 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong, Sultan solat Jumaat bersama 700 penduduk di Masjid Raja Lumu

KUALA SELANGOR, 15 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli ke Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati di sini hari ini bagi menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 700 jemaah.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 12.54 tengah hari disambut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut menyambut ketibaan Baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Raja Berdaulat, Menjunjung Kasih Titah Ditaat’ yang dibaca Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya mengingatkan jemaah supaya taat dan memuliakan Baginda sebagai pemimpin kerana ia salah satu perintah agama.

“Mentaati arahan dan titah pemerintah merupakan suatu tuntutan dalam Islam bagi memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara berjaya dicapai dan dikekalkan.

“Mana mungkin sesuatu negeri atau negara akan tenteram dan dapat menikmati hidup rukun damai jika rakyat serta pemimpin saling bercakaran dan menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati, Kuala Selangor untuk menunaikan solat Jumaat disambut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 15 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Muhammad Farhan berkata rakyat seharusnya bersyukur negara mempunyai sistem Raja Berperlembagaan yang sangat unik selain sentiasa menjaga kepentingan dan keagungan agama Islam.

Katanya, Al-Sultan Abdullah berjaya menerajui kepimpinan negara dengan baik ketika rakyat berdepan musibah dan ujian besar pandemik Covid-19.

“Baginda juga menggunakan kebijaksanaan mengatasi dan mengimbangi kestabilan politik tanah air yang suatu ketika dulu pernah melalui detik mencabar dengan penuh hikmah dan adil,” katanya.

Selesai solat yang diimamkan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sheikh Abdul Karim Omar, Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bersalaman dengan jemaah.

Pada 6 Oktober tahun lalu, Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Raja Lumu yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Pekan Lama Kuala Selangor.

Baginda juga memberi perkenan mengiktiraf masjid yang dinaik taraf dengan kos RM10.4 juta sebagai Masjid Diraja yang kesembilan di negeri ini.

Masjid Raja Lumu dipilih sempena nama Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari 1766 hingga 1782.


Pengarang :