SHAH ALAM, 15 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melawat ke sekitar Istana Alam Shah semalam.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Turut mengiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Selangor Royal Office memaklumkan lawatan berkenaan sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dohormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong di Balairung Seri istana tersebut.
“DYMM Sultan Selangor berkenan menunjukkan koleksi-koleksi peribadi bahan-bahan bersejarah termasuk gambar-gambar lama yang dipamerkan di segenap pelusuk Istana Alam Shah.
“Seusai santapan tengahari, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan beramah mesra bersama Kerabat Diraja Selangor,” menurutnya menerusi Facebook.
Terdahulu, Tunku Azizah berkenan menerima Darjah Kerabat Selangor sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-78 Sultan Sharafuddin.
Darjah kebesaran itu, yang dizahirkan pada 1961 dikurniakan kepada kaum kerabat Diraja di Malaysia selain raja-raja negara lain sebagai penghormatan dan persahabatan akrab dengan Sultan Selangor.