Pekerja unit penjimatan air Air Selangor Jofintha Joseph menunjukkan bidal air ketika majlis pelancaran Pili Cekap Air Selangor 2023 di Kompleks Tabung Haji, Petaling Jaya pada 15 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program pili cekap di masjid, pupuk amalan penggunan air mampan

PETALING JAYA, 16 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan Program Pemasangan Pili Cekap Air dalam usaha memupuk amalan penggunan air yang lebih mampan di masjid.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata program yang bermula di lapan masjid sekitar Selangor menyasar penjimatan air secara meluas dengan pembabitan komuniti masjid.

“Progam ini juga bertujuan mempromosikan produk cekap air yang dapat mengurangkan kos bil air yang ditanggung oleh setiap pelanggan.

“Sebanyak 556 paip cekap air telah dipasang bagi menggantikan paip sedia ada pada bulan lalu di lapan masjid sekitar Selangor,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut.

Majlis yang diadakan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, malam tadi turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah.

Antara lapan masjid tersebut adalah Masjid An-Nur di Glenmarie, Masjid Darul Ehsan (Subang), Masjid Al-Husna (Sunway), dan Masjid Nurul Ehsan di Taman Medan.

Selain itu, Masjid Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Masjid Dato Kamaruddin (Petaling Jaya), Masjid As-Salam (Puchong) dan Masjid Kota Damansara.

Fahmi berkata program berkenaan akan diperluas ke semua masjid di Selangor secara berperingkat sekali gus melaksana inisiatif bawah pelan Strategi Kelestarian Air Selangor 2030.

Jelasnya, penggantian kepada pili cekap dijangka membolehkan setiap masjid mencatat anggaran purata kos penjimatan sebanyak RM981.36 setahun.

“Sehingga pertengahan tahun ini, rakyat Selangor telah menggunakan sebanyak 269 liter air sehari untuk setiap orang secara purata, yang melebihi saranan iaitu hanya 160 liter sehari.

“Kita harap program ini akan membantu menjimatkan penggunaan air bagi menyokong visi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030,” katanya.


Pengarang :