Orang ramai beratur untuk membeli barangan asas yang dijual murah pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kota Anggerik di Dewan Jasmin, Bukit Jelutong pada 16 Disember 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Berbaloi beli barang dapur, suri rumah tempuh perjalanan 40 minit ke jualan murah

SHAH ALAM, 16 DIS: Seorang suri rumah sanggup menempuh perjalanan lebih 40 minit bagi membeli barangan keperluan murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Dewan Jasmin, Bukit Jelutong, hari ini.

Nurul Azma Abdul Rahim, 41, yang tinggal di Jalan Kebun, Klang berkata beliau sering menyemak lokasi jualan murah menerusi Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Nurul Azma Abdul Rahim. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI.

“Saya sudah datang ke program JER lebih lima kali. Hari ini saya datang ke sini untuk beli barang dapur kerana cuti sekolah sudah bermula, jadi perlu sentiasa masak untuk anak-anak.

“Saya juga pernah pergi ke jualan JER sejauh di Puchong pada beberapa bulan lalu, hanya untuk mendapatkan beras kerana ketika itu susah sangat untuk beli beras di pasaraya,” kata ibu empat anak ini kepada Selangorkini.

Sementara itu, jurutera, Nadhrah Fadzil, 32, yang julung kali hadir ke jualan murah berkenaan membeli hampir semua produk yang ditawarkan dalam program anjuran Kerajaan Negeri itu.

Nadhrah Fadzil. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Menurut ibu dua anak itu, beliau diminta ibunya untuk ke program JER bagi membeli beberapa barangan keperluan dan terkejut apabila melihat harga yang ditawarkan.

“Ini pertama kali saya datang dan saya beli hampir semua jenis barang yang ada di situ. Saya tidak tahu mengenai program ini. Selepas ini saya pasti datang lagi,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Ia dianjurkan di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain menjalin kerjasama dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.


Pengarang :