SHAH ALAM, 16 DIS: Hotel Concorde Shah Alam hari ini menyumbang 220 kg baja organik kepada Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) bagi kegunaan tanaman pokok.
Baja organik itu diserahkan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Concorde Shah Alam Amilia Alias kepada Pengarah TBNSA Siti Zubaidah Mohamad disaksikan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Mohd Najwan ketika ditemui berkata sumbangan baja organik daripada lebihan bahan mentah seperti ayam dan sayuran adalah inisiatif baik yang seharusnya dicontohi oleh pengusaha hotel lain.
“Penghasilan baja organik ini bermula sejak September dengan 83 peratus daripadanya adalah daripada bahan mentah. Usaha ini sangat baik untuk kelestarian alam sekitar.
“Taman Botani sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyumbang baja organik yang boleh digunakan untuk pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan turut menggalakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberikan insentif sebagai galakan kepada pengusaha hotel dalam penghasilan baja organik daripada bahan mentah.
“PBT boleh fikirkan alternatif lain dalam galakan kepada pengusaha hotel untuk buat perkara sama iaitu menjadikan bahan mentah kepada baja organik demi manfaat alam.
“Selain menyumbang kepada taman botani mereka juga boleh memberikannya pengusaha kebun-kebun komuniti aktif yang diusahakan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Amilia berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menyelamatkan alam sekitar, malah sumbangan baja organik memberi manfaat kepada petani dan pekebun kecil.
“Pengurusan hotel mempunyai lebihan bahan mentah dalam penyediaan makanan terutama ketika ada majlis keramaian. Jadi kita ambil inisiatif dengan menghasilkan baja organik daripada bahan mentah ini.
“Setakat ini, kita telah sumbang 540 kg baja organik kepada taman botani dan selepas ini akan menyumbang kepada petani dan pekebun kecil yang kurang berkemampuan untuk dimanfaatkan kepada hasil tanaman,” katanya.