AGENDANASIONAL

Dua guru maut akibat nahas jalan raya

KEPALA BATAS, 16 DIS: Dua guru maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Sungai Lokan, di sini awal pagi tadi.

Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Rakan mereka Muhammad Nazrul Firdaus Jelani, 32, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB), di sini hari ini berkata kemalangan berlaku kira-kira 15 minit selepas mereka beredar dari sebuah restoran di sini sekitar pukul 2 pagi.

Beliau berkata Muhammed Ahsan yang sudah kahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bunga, manakala Muhammad Fakhrul guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin di Bukit Dumbar, Jelutong.

Difahamkan jenazah Muhammed Ahsan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zoo di Air Itam, manakala Muhammad Fakhrul dibawa pulang ke Kampung Belukar Luas Naka, Kedah untuk dikebumikan berhampiran dengan kubur arwah bapanya.

— BERNAMA


Pengarang :