Kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan Israel duduk atas lantai di Hospital Nasser di Khan Yunis selatan Gaza pada 9 Disember 2023. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Wanita hidap barah antara 16 rakyat Palestin ditahan Israel di Tebing Barat

RAMALLAH, 16 DIS: Seorang wanita yang menghidap barah adalah antara 16 rakyat Palestin yang ditahan tentera penceroboh Israel di Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu.

Penahanan itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang ditahan sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lepas kepada 4,520 orang, menurut kumpulan tahanan Palestin.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan wanita itu dikenali sebagai Faten Majed Masalmeh, 21, berasal dari Gaza tetapi kini berkahwin dan menetap di Tebing Barat.

Beliau ditahan di pusat pemeriksaan tentera di selatan bandar Nablus, utara Tebing Barat selepas mendapatkan rawatan perubatan.

Menurut suaminya yang berada di lokasi kejadian, isterinya dipercayai ditahan kerana berasal dari Gaza, walaupun menetap di Tebing Barat sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata tentera tidak membenarkan Faten membawa ubatnya bersamanya.

Kumpulan tahanan Palestin berkata yang lain ditahan di Bethlehem, Jericho, Tulkarm, Ramallah, Hebron, dan Baitulmaqdis.

– BERNAMA


Pengarang :