Keadaan tanah runtuh yang turut menyebabkan kerosakan sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Wawasan 3, Puchong pada 16 Disember 2023. Foto Facebook Ng Sze Han
AGENDANASIONAL

Pusat pemindahan dibuka tempatkan mangsa tanah runtuh di Puchong

SHAH ALAM, 16 DIS: Sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Laman Puteri 3, Puchong bagi menempatkan mangsa yang terjejas susulan insiden tanah runtuh di Taman Wawasan 3.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata kemudahan penempatan itu dibuka sejak 9 malam tadi dengan urusan pemindahan kesemua mangsa dibantu pihak berkuasa di lapangan.

“Petang ini kita dikejutkan dengan beberapa kejadian bencana di sekitar Puchong dan Kinrara akibat daripada hujan yang sangat lebat.

“Pasukan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kinrara, Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Ahli Majlis MBSJ sedang berada di lapangan untuk membantu keperluan-keperluan mangsa,” katanya di Facebook.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Pasukan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kinrara dan Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berada di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan 3 bagi membantu keperluan mangsa pada 16 Disember 2023. Foto Facebook Ng Sze Han

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tujuh rumah teres di Taman Wawasan 3 terpaksa dikosongkan selepas berlaku tanah runtuh di hadapan sebuah daripada rumah berkenaan.

Pengarahnya Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 7.26 malam tadi melibatkan kawasan seluas 50 meter.

“Tanah runtuh berkenaan menyebabkan kerosakan sebuah kereta jenis Honda yang diletakkan di hadapan rumah, bagaimanapun tiada mangsa terlibat,” katanya.

Selain kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan 3, empat lagi kawasan terjejas banjir kilat iaitu Taman Kinrara 2, Banjir di IOI Mall Puchong, Banjir di Bandar Kinrara 4 dan Taman Pak Siong.


Pengarang :