Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datin Paduka Noraini Roslan melakukan gimik pelepasan peserta Footer Klang City Quarter Marathon sempena Hari Tanpa Kenderaan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hari Klang Tanpa Kenderaan, lebih 2,000 peserta termasuk OKU sertai larian

KLANG, 17 DIS: Lebih 2,000 rakyat berbilang kaum termasuk orang kurang upaya (OKU) menyertai Footer Klang City Quarter Marathon sempena edisi terakhir Hari Tanpa Kenderaan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Program membabitkan larian sejauh 10 kilometer(km) bagi kategori terbuka dan veteran, Fun Run (lima km) serta Fun Walk Kasih Keluarga OKU (satu km) bermula dari pekarangan pusat beli-belah Centro Mall di sini.

Yang Dipertua MPK Datin Paduka Noraini Roslan berkata acara dengan kerjasama syarikat Footer bukan sahaja bertujuan memupuk amalan hidup sihat, malah mewujudkan perpaduan dan memastikan tiada individu tertinggal daripada proses pembangunan.

“Dalam usaha mencapai status bandar raya, kita tidak boleh meninggalkan golongan yang sebelum ini terpinggir seperti OKU. Mereka biasanya sukar untuk menyertai apa-apa aktiviti sihat seperti larian dan berjalan.

“Bagaimanapun hari ini, kita datangkan mereka yang terdiri daripada 10 persatuan OKU dengan laluan khas larian disediakan. Kita lihat mereka gembira kerana diraikan dalam arus perdana dan sama-sama merasai kegembiraan seperti orang lain,” katanya ketika ditemui.

Larian kategori terbuka dan veteran melalui Jalan Persiaran Sultan Ibrahim, pusat bandar Klang Selatan dan Sri Kota Medical Centre, manakala OKU berjalan menuju ke Klinik Kesihatan Bukit Kuda.

Antara peserta orang kurang upaya (OKU) yang menyertai Footer Klang City Quarter Marathon sempena Hari Tanpa Kenderaan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, Noraini memaklumkan buat julung kali pihaknya berganding bahu dengan Monzo Event bagi menjayakan Hari Tanpa Kenderaan yang giat mempromosi program jasmani berkonsepkan bandar sihat rakyat sejahtera dan ke arah bandar mampan.

“MPK percaya kerjasama dengan pihak berkepentingan akan memberi manfaat jangka panjang. Proses jangka panjang ini akan melahirkan Klang sebagai bandar raya idaman yang menyediakan perkhidmatan berkualiti serta memuaskan masyarakat,” katanya.

Selain larian, turut diadakan sempena Hari Tanpa Kenderaan lain ialah pameran pelbagai agensi dan cabutan bertuah.

Dalam program sama, pihak berkuasa tempatan itu turut menyumbang RM500 kepada 10 pertubuhan OKU sebagai mengiktiraf kemampuan golongan terbabit.

Pertubuhan itu termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Klang Utara, PPDK Klang Selatan, PPDK Kota Raja, PPDK Meru, PPDK Bandar Botanik dan PPDK Pandamaran.

Selain itu, Persatuan Dyslexia Selangor, Persatuan Autisme Malaysia Selangor, Kelab Warga Sihat Klinik Kesihatan Botanik dan Beautiful Gate Foundation.

Antara rakan penaja program Footer Klang City Quarter Marathon ialah 99 Speedmart, KDEB Waste Management (KDEBWM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Antara peserta OKU yang menyertai Footer Klang City Quarter Marathon sempena Hari Tanpa Kenderaan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datin Paduka Noraini Roslan menyertai Footer Klang City Quater Marathon 2023 sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datin Paduka Noraini Roslan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil Pusat Pemulihan dalam komuniti Klang Selatan ketika Footer Klang City Quater Marathon 2023 sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datin Paduka Noraini Roslan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil Pusat Pemulihan dalam komuniti Bandar Botanic ketika Footer Klang City Quater Marathon 2023 sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan di Centro Mall, Klang pada 17 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :