AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naskhah riwayat Rasulullah ungguli carta 10 buku terlaris di pesta buku negeri

SHAH ALAM, 17 DIS: Naskhah riwayat Rasulullah mengungguli carta 10 buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) terlaris pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 yang berlangsung dari 1 hingga 10 Disember.

Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal tulisan asal Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin yang meraih anugerah pada peringkat antarabangsa dan diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW.

Karya berjudul Gelagat dan Ragam Orang Melayu, yang menceritakan gambaran serta situasi menarik di Tanah Melayu mengikut pengamatan bekas Gabenor Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu Frank Swettenham pula menjadi buku kedua terlaris.

Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang terjemahan daripada teks Arab bertajuk ‘Abqariah Umar pula ketiga terlaris sepanjang 10 hari penganjuran pesta berkenaan.

Orang ramai melihat koleksi buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Karangan cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-‘Aqqad yang diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor memuatkan banyak kisah menarik termasuk sisi peribadi sahabat nabi yang boleh diteladani pembaca.

Salahuddin Al-Ayubi:Raja Penakluk juga tersenarai antara lima buku terlaris diikuti buku baharu Perempuan Seribu Satu Malam yang turut meraih tumpuan ramai.

Setebal 252 halaman, buku itu memuatkan empat kisah terkenal daripada Hikayat Seribu Satu Malam iaitu Aladin dan Pelita Ajaib; Judar dan Abang-abangnya; Abukir dan Abusir dan Tukang Emas Berahi.

Naskhah lain popular termasuk Perdukunan Melayu, Penyucian Kalbu: Tanda-Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya, Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources, Tata Dunia: Punca Perang dan Damai Sepanjang Sejarah serta Penyelamat Daripada Kesesatan.

Pengunjung melihat koleksi buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Julung kali diadakan tahun lalu, SIBF 2023 merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Orang ramai yang terlepas peluang mendapatkan naskhah berkenaan pada SIBF masih boleh berbuat demikian dengan mengunjungi Big Bad Wolf KL di aras bawah Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya sehingga 23 Disember.


Pengarang :