Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

92 wartawan terbunuh di Gaza sejak 7 Okt, korban keseluruhan cecah 18,800

BANDARAYA GAZA, 17 DIS: Sekurang-kurangnya 92 wartawan terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel yang berlanjutan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, menurut pejabat media kerajaan di Palestin pada Ahad.

Mangsa terbaharu ialah wartawan Rami Badir dan Assem Kamal Musa yang terbunuh akibat serangan tentera penceroboh Israel sejak dua hari lalu, Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.

Bagaimanapun, pejabat itu tidak mendedahkan butiran lanjut.

“Dengan membunuh wartawan, Israel cuba untuk mengaburi naratif Palestin dan cuba menutup kebenaran tetapi ia gagal mematahkan semangat rakyat Palestin,” menurut pejabat itu.

Mayat seorang warga Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis dimasukkan ke dalam ambulans, di selatan Semenanjung Gaza, 1 November 2023. Foto REUTERS

Israel telah mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, melaksanakan kepungan dan melancarkan serangan darat sejak 7 Oktober.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata jumlah korban yang direkodkan di Semenanjung Gaza telah mencecah 18,800 orang.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :