Kerja-kerja pemasangan cerucuk besi dibuat bagi mengawal pergerakan tanah susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan, Puchong pada 16 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Tanah runtuh di Puchong, kerja tanam cerucuk diteruskan pagi ini

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerja menanam cerucuk besi dan pembaikan cerun di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Puchong diteruskan pagi ini, kata ketua polis daerah Serdang.

Asisten Komisioner AA Anbalagan memaklumkan sebanyak 46 cerucuk besi dipasang setakat ini dan pihaknya mendapati masih berlaku pergerakan tanah petang semalam, lapor Berita Harian.

“Kira-kira jam 3.30 petang semalam, didapati ada pergerakan tanah iaitu simen hadapan pintu pagar beberapa rumah mulai runtuh,” katanya seperti dilaporkan.

Mengulas insiden empat kenderaan yang menggelongsor akibat kejadian itu, beliau berkata satu daripadanya dikeluarkan kira-kira 6 petang semalam menggunakan kren.

Dalam pada itu, Anbalagan memaklumkan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa ditutup malam tadi dengan polis memantau insiden berkenaan dari masa ke masa.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam, kelmarin berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan 29 penghuni di sembilan rumah diarah berpindah atas faktor keselamatan.


Pengarang :