Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi mengedarkan kalendar 2024 kepada pengunjung program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Seri Serdang, di pekarangan Surau Nurul Ikhlas, Seri Kembangan pada 18 Disember2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Giat hebah manfaat program negeri, bantu daftar penerima layak

SERDANG, 18 DIS: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mempergiat hebahan program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk manfaat rakyat.

Wakil rakyatnya Abbas Azmi berkata usaha bersama persatuan penduduk melibatkan sesi penerangan selain membantu mendaftarkan mereka yang layak untuk mendapat inisiatif berkaitan.

“Kita dapati maklumat inisiatif ini tidak sampai ke bawah secara menyeluruh. Program turun padang sebenarnya dimulakan dengan kerjasama persatuan penduduk di setiap kawasan DUN.

“Tahun depan kita akan pergiatkan lagi usaha bagi memastikan setiap yang layak mendapat manfaat khas untuk mereka,” katanya ditemui selepas program Jelajah Ehsan Rahmah di sini hari ini.

Selain penerangan dan pendedahan ISP, Abbas berkata pelaksanaan program pemeriksaan kesihatan turut diberi tumpuan tahun depan bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warganya.

“Kita menjalin kerjasama dengan hospital dan agensi lain bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan ISP bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula daripada program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.

 


Pengarang :