Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin (tengah) berkenan bergambar bersama pemenang pertandingan akhir Debat Diraja antara IPT 2023 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 18 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cungkil bakat belia melalui debat, lahir pelajar cemerlang akademik, sahsiah

SHAH ALAM, 18 DIS: Kementerian Pengajian Tinggi komited untuk meneruskan tradisi Pertandingan Debat Diraja dalam usaha mencungkil bakat terbaik belia di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penganjurannya ke arah merealisasi wawasan Malaysia Madani iaitu usaha ke arah pembudayaan ilmu dan kepelbagaian wacana.

“Pertandingan ini sinonim sebagai wadah untuk mengasah daya fikir dan kepetahan pelajar, selain amat signifikan dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan keterampilan.

“Dengan adanya program seperti ini ia juga dapat menyegarkan tradisi intelektual di kampus dimana penyegaran idea sebegini sangat diperlukan untuk pelajar,” katanya ketika berucap di Pertandingan Akhir Debat Diraja antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023, hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknolgi Mara (UiTM) di sini, dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul bercakap kepada media selepas pertandingan akhir Debat Diraja antara IPT 2023 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 18 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pertandingan akhir debat Diraja edisi ke-24 itu menyaksikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai johan bagi kategori Bahasa Melayu, menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sementara itu, kumpulan pendebat UiTM diisytihar sebagai pemenang bagi kategori Bahasa Inggeris, manakala Universiti Malaya (UM) memenangi kategori Bahasa Arab.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan serta trofi, manakala naib johan memenangi wang tunai RM3,000 dan trofi.

Sebanyak 85 pasukan bertanding dalam tiga kategori iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Ia membabitkan penyertaan daripada 19 universiti awam dan empat pusat pengajian tinggi swasta.


Pengarang :