Penghantaran kali ketiga barangan bantuan kemanusiaan buat Palestin menerusi Ops Ihsan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir pada 7.50 pagi waktu tempatan pada Selasa, 19 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Misi Ops Ihsan selamat mendarat di Mesir, 60 tan barangan keperluan diagih

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Misi penghantaran barangan bantuan kemanusiaan kali ketiga dari Malaysia kepada penduduk Gaza di bawah ‘Ops Ihsan’ selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish, Mesir pada 7.50 pagi waktu tempatan pada Selasa.

Sekretariat Ops Ihsan dalam satu kenyataan berkata penerbangan yang mengambil masa hampir 11 jam itu disertai 10 krew termasuk dua petugas media Ops Ihsan.

Ketibaan pesawat sewa khas A330-200 MASKargo itu disambut pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish bersama dengan pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Penghantaran kali ini melibatkan sejumlah 60 tan barangan bantuan berbentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan, keperluan bayi dan wanita serta keperluan musim sejuk yang bernilai RM3 juta.

Menurut kenyataan itu, barangan yang diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir itu dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah sebelum diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital dan juga masyarakat Gaza yang memerlukan.

Ops Ihsan merupakan usaha kolektif dan bersepadu pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan dalam mengumpul dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza susulan serangan tentera rejim Israel sejak Oktober lalu.

Melalui penghantaran ketiga itu, Malaysia sudah menghantar barangan bantuan mencecah 100 tan, selepas penghantaran pertama dan kedua masing-masing melibatkan barangan seberat 20 tan.

Misi Ops Ihsan yang pertama berjaya dilaksanakan pada 3 November manakala misi kedua pula 10 November lalu.

– BERNAMA


Pengarang :