Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Denggi catat 2,948 kes, tiga kematian bagi tempoh 3 hingga 9 Disember

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kes denggi di seluruh negara merekodkan penurunan 1.3 peratus atau kurang 40 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 2023 (ME49), iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Disember dengan 2,948 kes berbanding 2,988 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes denggi tahun ini sehingga ME49, sebanyak 114,365 kes berbanding 60,110 kes bagi tempoh sama 2022, iaitu peningkatan 54,255 kes atau 90.3 peratus.

“Bilangan lokaliti hotspot meningkat pada ME49 dengan 101 lokaliti dilaporkan, berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Daripada 101 lokaliti yang dilaporkan, 78 lokaliti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (12), Perak (enam), Sabah (tiga) serta masing-masing satu lokaliti di Kelantan dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat tiga kes maut bagi minggu sama, menjadikan keseluruhan kes kematian tahun ini sehingga ME49 ialah sebanyak 87, berbanding 44 kematian bagi tempoh sama pada 2022.

Beliau berkata kelewatan pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan, menjadi antara faktor utama menyumbang kepada kematian akibat denggi.

Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan, sekiranya bergejala seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot atau tulang atau sendi, sakit kepala kuat, serta sakit di belakang mata.

“Lebih merisaukan apabila gejala ini disusuli dengan muntah-muntah, cirit-birit serta pendarahan gusi, di mana jika ia tidak dirawat dengan segera ia boleh mengakibatkan komplikasi denggi dan seterusnya menyebabkan kematian. Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu bagi survelan kes chikungunya, Dr Muhammad Radzi memaklumkan tiada kes direkodkan pada ME49, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 192 kes.

Terdapat satu wabak chikungunya yang masih aktif di daerah Petaling, Selangor pada ME49.

Sementara itu, bagi survelan zika, sebanyak 3,603 sampel darah dan 395 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasilnya kesemua sampel ialah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :