Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Ki membantu membersihkan kediaman seorang warga emas yang terjejas banjir di Jalan SK 13/14 Kampung Baru, Seri Kembangan pada 18 Disember 2023. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

Mangsa banjir di DUN Seri Kembangan bakal terima bantuan kewangan

SHAH ALAM, 20 DIS: Bantuan bencana berjumlah RM250 akan diagihkan segera kepada 40 keluarga di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan yang terjejas dalam banjir, Ahad lalu.

Wakil rakyatnya berkata ketua kampung dan ahli majlis sedang mengumpul dokumen keluarga terlibat sebelum diserahkan kepada pejabat daerah dan tanah (PDT) Petaling untuk tindakan lanjut.

Wong Siew Ki juga menjangka proses bagi membantu penduduk di Jalan SK 13/14 Kampung Baru dan Jalan Indah 1/1C Taman Universiti Indah tidak mengambil masa panjang jika maklumat diberikan lengkap.

“Hari ini ketua kampung akan mengambil borang permohonan bantuan untuk dilengkapkan ketua isi rumah termasuk membuat laporan polis mewakili semua keluarga terbabit.

“Kelmarin, saya minta penduduk ambil gambar kerosakan serta keadaan rumah. Diharap kita boleh aturkan agihan sumbangan ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengkaji semula sistem perparitan dan longkang di kawasan terbabit bagi mengelak insiden sama berulang.

Siew Ki memaklumkan pihak berkuasa tempatan itu akan membuat kertas kerja bagi pembaikan infrastruktur berkaitan berikutan insiden banjir baru-baru ini agak serius.

Pada masa sama, beliau turut meminta pihak berkuasa mengaktifkan sistem amaran jika sesebuah kawasan itu berisiko banjir ketika hujan lebat bagi memudahkan penduduk membuat persediaan.

“Jangan amaran sampai lewat kerana ia akan menyukarkan penduduk dan kejadian baru-baru ini menyebabkan banyak barang rosak kerana air naik sehingga paras satu kaki.

“Saya juga bersimpati dengan nasib seorang warga emas yang tinggal bersendirian dan tiada siapa dapat membantunya mengalih barang serta membersihkan rumah,” katanya lagi.


Pengarang :