SHAH ALAM, 20 DIS: Sebanyak 34 skrin diod pemancar cahaya (LED) dipasang di sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memaparkan infografik statistik kemalangan maut di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) berkata skrin yang dipasang bermula bulan lalu bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung kepentingan menjaga keselamatan.
Mohamad Zahri Samingon menjelaskan langkah itu juga berikutan Selangor mencatat jumlah tinggi kemalangan raya sepanjang tahun lalu sebanyak 156,815 kes dan 1,003 kematian.
“Bagi Januari hingga Jun lalu, negeri mencatat 84,617 kemalangan jalan raya dengan 558 kematian. Susulan itu, Kerajaan Negeri mengarahkan setiap kawasan PBT memaparkan infografik statistik.
“Infografik ini mula dipaparkan pada 15 November di sembilan PBT membabitkan 34 skrin untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya pentingnya menjaga keselamatan diri,” katanya.
Beliau berucap pada majlis sambutan bulan keselamatan jalan raya peringkat negeri tahun 2023 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri memaklumkan sebanyak 2,769 topi keledar dewasa diagihkan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri pada 5 Disember dengan peruntukan RM162,000.
“Bagi topi keledar kanak-kanak pula, agihan akan dilaksanakan sebaik sahaja pihak urusetia MKJR Selangor menerima bekalan daripada kilang,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Azrin Borhan menyeru semua pihak memainkan peranan dalam memberi kesedaran untuk pengguna mematuhi peraturan jalan raya.
“Kerjasama antara kerajaan dan swasta perlu ditekankan supaya saling membantu dalam menjalankan apa jua program dan aktiviti bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian,” katanya.