AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anak syarikat negeri berminat teroka pelaburan di Nusantara, Indonesia

JAKARTA, 21 DIS: Beberapa syarikat milik kerajaan negeri Selangor menunjukkan minat tinggi untuk melabur dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, menurut agensi penggalak pelaburan Invest Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Hasan Azhari Idris berkata syarikat-syarikat ini terlibat dalam pelbagai sektor, termasuk pembinaan kediaman, perkhidmatan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa.

“Kami berminat dengan kerjasama pembangunan yang berpotensi dari peringkat awal projek ini dan dalam menyediakan kemahiran dan kepakaran,” katanya semasa pertemuan dengan media Indonesia dan Malaysia di sini.

Invest Selangor adalah salah satu peserta dalam misi pecutan eksport yang diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia selama empat hari ke Indonesia yang berakhir esok.

Menurut Hasan Azhari, agensi itu akan berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Bandar Raya Nusantara (OIKN) dan terbuka kepada kemungkinan mengemukakan surat hasrat.

“Selepas pulang ke Malaysia, kami akan merancang untuk penglibatan Selangor dalam pembangunan Nusantara,” katanya.

Datin Paduka Norazlina Zakaria, ketua pegawai eksekutif kumpulan Worldwide Holdings Bhd milik kerajaan Selangor, turut menyatakan minat untuk meneroka pelaburan dalam sektor hartanah, tenaga hijau dan produk perubatan yang disahkan halal.

“Terdapat banyak penyedia penjagaan kesihatan di Balikpapan, Kalimantan Timur. Jika boleh, kami ingin bekerjasama dengan syarikat penjagaan kesihatan tempatan untuk membawa barangan Indonesia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Setiausaha kerajaan negeri Selangor Datuk Haris Kasim berharap Selangor dapat menyertai program pembangunan Nusantara dengan bekerjasama dengan kementerian, agensi dan syarikat kerajaan Indonesia.

“Ini adalah satu inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dua hala untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :