Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

ASB umum dividen 5.25 sen seunit, manfaatkan 10.8 juta pelabur

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana perdananya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Jumlah agihan tersebut terdiri daripada agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Jumlah pembayaran itu berjumlah RM9.3 bilion dan akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PNB, ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan berdaya saing, mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

Bilangan akaun ASB meningkat lebih 200,000 kepada 10.8 juta akaun pada 2023, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai alat simpanan dan pelaburan penting untuk Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

“Walaupun keadaan pasaran yang tidak menentu, PNB secara konsisten memberikan pulangan kompetitif melalui dana harga tetap kami, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

“Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk terus menabung untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin,” kata pengerusi kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Beliau berkata, pada tahun ini, PNB menyaksikan jumlah akaun meningkat kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 daripada 15.2 juta tahun lepas.

“Kepopularan berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui penemuan daripada Kajian Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) RinggitPlus 2023, dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0 peratus pada 2023, dengan sokongan berterusan daripada penggunaan domestik yang kukuh, perbelanjaan infrastruktur dan pemulihan dalam sektor pelancongan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 (S3 2023), berbanding S2 2023 (2.9 peratus).

-BERNAMA


Pengarang :