Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei (kanan) menyampaikan baucar beli-belah RM100 dan kurma pada program Bantuan Ramadan DUN Kampung Tunku di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto Facebook Lim Yi Wei
ADNSELANGOR

ADN tumpu lebih ramai pekerja B40 daftar program bantuan negeri

SHAH ALAM, 21 DIS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku terus mempergiat usaha untuk memastikan lebih ramai penduduk berpendapatan rendah (B40) mendaftar program bantuan Kerajaan Negeri.

Menurut Lim Yi Wei, kebanyakan penduduk dalam lingkungan usia 30 hingga 50 tahun dan bekerja kurang peka dengan program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) berbanding warga emas atau pesara.

“Warga emas di kawasan ini lebih celik dengan perkembangan skim bantuan negeri. Apabila nampak hebahan di media sosial atau WhatsApp, mereka segera mohon di pusat khidmat masyarakat (PKM).

“Golongan yang bekerja tiada masa mendaftar atau meneliti bantuan ISP kerana sibuk bekerja. Jadi, itu antara matlamat PKM tahun depan untuk pastikan golongan berkenaan mendaftar,” katanya.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 58.5 peratus daripada 54,891 warga Kampung Tunku dikategori sebagai usia bekerja dengan 22.3 peratus umur muda, manakala umur tua 19.2 peratus.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan ISP bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula daripada program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :