Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Aneka genre dalam pesta buku negeri gamit 250,000 pengunjung

SHAH ALAM, 21 DIS: Lebih 250,000 orang daripada pelbagai lapisan usia mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 sepanjang 10 hari penganjuran yang berakhir pada 10 Disember.

Aneka genre buku, daripada kanak-kanak hingga dewasa, menggamit pencinta buku dalam program di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13.

Selain 354 reruai melibatkan 225 pempamer tempatan, pempamer luar negara antaranya United Kingdom, Turkiye, Korea, Mesir, Indonesia, Singapura dan China turut memeriahkan acara.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Perasmian program kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Nur Azlene Zainal Abidin, 36, guru yang 13 tahun berkhidmat di sebuah tadika di Kuala Lumpur menyifatkan penganjuran pesta tersebut memudahkannya mencari bahan pembelajaran.

“Ini kali kedua saya datang ke pesta buku anjuran Kerajaan Selangor. Benda wajib yang saya cari lembaran kerja dan buku aktiviti untuk kegunaan anak murid.

“Banyak pilihan dan harga jauh lebih murah berbanding kebiasaan. Jadi, sesuai untuk guru di luar mencari bahan pembelajaran,” katanya.

Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara Rabiatul Adawiyah Zahari, 20, sesi bersama penulis antara tarikan yang dinanti-nanti peminat buku termasuk beliau sendiri.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini bukan kunjungan pertama. Saya gemar membaca buku puisi, dakwah dan novel. Jika bertuah boleh bertemu penulis kerana ada penerbit buat sesi bertemu bersama penulis,” katanya.

Karya laris

Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan dan 100 Warkah 1,000 Impian Anwar PM-10 terbitan Nuha Books yang menghimpunkan pandangan 100 rakyat Malaysia antara judul yang menjadi rebutan.

Tidak ketinggalan, novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said yang diterjemah 38 negara luar. Selain itu, novel Gadis Kretek juga diminati ramai pembaca tempatan.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarah Urusan Media Inspirasi Nusantara Sdn Bhd Nabieh Rahmat mengambil inisiatif mengumpulkan penerbit dan penulis Indonesia untuk membuka reruai berikutan ada permintaan daripada pembaca di Malaysia.

Asma Nadia, penulis berasal daripada republik itu, yang pertama kali menyertai pesta buku anjuran Selangor turut menganggap acara berkenaan mengeratkan silaturahim kedua-dua negara.

“Sebelum ini, saya sertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kali ini saya ikuti SIBF, memang teruja. Acara luar biasa dan saya ia harap diteruskan, menjadi lebih besar selain memberi inspirasi kepada negara lain untuk anjurkan pesta buku seumpama ini,” katanya.

Program Selangor Fellowship Antarabangsa iaitu usaha menterjemah buku yang diperkenal SIBF tahun lalu juga mendapat perhatian. Bermula empat, kali ini tujuh negara menyertai inisiatif tersebut.

Orang ramai hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Buat julung kali, peserta negara terlibat program fellowship setuju menterjemah buku mereka. Negara yang menyertai program ini ialah Malaysia, Turkiye, Korea Selatan, Australia, Nepal dan Indonesia.

“Ini peluang cerah untuk penulis dan penerbit daripada negara terlibat program menterjemah buku berkualiti dan dijadikan projek rintis,” kata Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menaruh keyakinan SIBF yang dulunya dikenali sebagai Pesta Buku Selangor antara 2006 hingga 2021 antara yang terbaik di Asia Tenggara.

“Pengalaman melawat penganjuran pesta buku di pelbagai rantau seperti di Jakarta, saya yakin SIBF menjadi program pengumpulan buku dan perkongsian idea terbaik di Asia Tenggara,” katanya.

Rencana ini diolah daripada berita Zareef Muzammil, Sheeda Fathil dan Siti Rohaizah Zainal


Pengarang :