Pengunjung membeli barangan keperluan asas di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di pekarangan Surau Nurul Ikhlas, Seri Kembangan pada 18 Disember 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah diteruskan ke lapan lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 21 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah diteruskan ke lapan lagi lokasi pada Sabtu dan Ahad ini.

Jualan yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari diadakan di Dewan MPKK Kampung Kemensah (Hulu Kelang), Pangsapuri Seri Mawar Bandar Seri Putra (Semenyih), Kampung Jambu (Balakong) dan Dewan MBSA Pulai Seksyen 27A (Kota Kemuning) pada Sabtu.

Manakala, pada Ahad pula JER diadakan di Pasar Malam Taman Mas (Dengkil), Kampung Kebun Bunga (Batu Tiga), Padang Permainan Taman Wangsa Cheras (Dusun Tua) dan Surau Haji Osman, Sungai Ingat, Kampung Bandar (Morib).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Terbaharu, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :