Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Majlis Anugerah Buku Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
NASIONAL

Kerajaan lulus RM25 juta bina blok tambahan kolej kediaman UPSI

TANJUNG MALIM, 21 DIS: Sejumlah RM25 juta diluluskan untuk membina 18 blok tambahan kolej kediaman mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kediaman yang ada sekarang hanya mampu menampung 7,804 atau 36 peratus daripada lebih 31,000 pelajar.

“Ini kadar terendah berbanding institusi pengajian tinggi awam lain 60 peratus.

“Oleh itu, kita ambil langkah tambah kapasiti kolej kediaman, belanjanya saya luluskan RM25 juta,” katanya dalam Dialog Mahasiswa Temu Anwar di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi dialog Mahasiswa Temu Anwar pada Majlis Anugerah Buku Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, menteri kewangan itu menyampaikan Anugerah Buku Negara 2023 termasuk kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara.

Anwar turut menyerahkan trofi kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Prolifik Dalam Memartabatkan Buku Negara menerusi buku berjudul G.R.E.A.T!.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Perdana Rakan Strategik Terbaik Dalam Memartabatkan Industri Buku Negara kepada Majlis Profesor Negara manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pula menerima Anugerah Khas Penggerak Industri Buku Negara.

Turut berlangsung peluncuran buku Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains dan Teknologi dalam al-Quran tulisan Dr Muhammad Nazir Mohamed Khalid bersama pengarah Jabatan Pendidikan Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Anwar turut menasihatkan anak muda khususnya mahasiswa universiti terus membudayakan amalan membaca.

“Budaya dan tamadun kita berkembang hanya dengan ilmu. Jangan ketinggalan kerana tanpa ilmu, kejahilan dan dangkal ilmu memungkinkan orang luar menghasut kita dengan mudah.

“Tanpa ilmu, kita tidak boleh berhujah, berani dan akhirnya terperangkap. Dengan adanya semangat membaca, saya yakin Malaysia berubah wajah sebagai negara hebat di rantau,” katanya.


Pengarang :