ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee bercakap kepada Media Selangor ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Keunikan kampung tradisi bakal jadikan Pandamaran destinasi pelancong

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 22 DIS: Keunikan beberapa kampung tradisional di Pandamaran mampu menjadikan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai destinasi pelancongan.

Wakil rakyatnya berkata meskipun Pandamaran hanya bandar kecil yang terletak di antara Banting dan Pelabuhan Klang, namun ada beberapa lokasi mempunyai keunikan tersendiri.

“Bukan sekadar Little India Klang, pusat beli-belah seperti GM Klang tetapi terdapat beberapa kampung tradisional boleh dijadikan produk pelancongan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk melalui sektor ini.

“Saya melihat beberapa perkampungan warisan seperti Melayu, India dan Cina masih dikekalkan dan jika kerja naik taraf dijalankan di kawasan tersebut, ia akan menjadi tarikan kepada pelancong asing yang sememangnya mengagumi budaya negara kita,” kata Leong Tuck Chee.

Beliau turut menjelaskan cadangan untuk memperkasa sektor pelancongan di DUN berkenaan akan dipanjangkan dalam beberapa siri perbincangan dengan Majlis Pelancongan Malaysia (Mita).

“Kita sedang berbincang dengan Mita untuk tarik pelancong asing yang masuk melalui Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang.

“Pelancong mempunyai pilihan untuk singgah ke Pandamaran dan kawasan sekitar Klang tanpa perlu ke Kuala Lumpur untuk melancong.

“Sekurang-kurangnya mereka menginap semalaman di Klang seterusnya peluang penduduk di sini menjana pendapatan melalui pelancongan,” katanya.


Pengarang :