Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 22 Disember 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Elak risiko banjir, MBSJ giat pantau, selenggara saliran

SUBANG JAYA, 22 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil beberapa langkah proaktif termasuk memastikan sistem saliran diselenggara mengikut jadual bagi menangani risiko banjir.

Datuk bandarnya berkata dua jabatan utama iaitu Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar (JPAS) ditugaskan untuk memantau situasi semasa.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim menjelaskan jabatan itu akan memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik, tidak tersumbat dan tiada halangan.

“JPAS akan pastikan tiada sampah tersangkut dalam longkang, perangkap sampah berfungsi dengan baik dan jika ada sampah terperangkap mereka kena keluarkan.

“Mereka akan buat pemantauan berkala di lokasi terlibat dan perlu sediakan laporan mingguan terus kepada saya. Ini akan beri keyakinan kepada kita sistem saliran bebas, tiada sampah dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ di sini hari ini.

Mohd Fauzi menambah MBSJ akan menganjurkan program penanaman pokok, Pledge and Plant A Tree (Papat) 2023 Januari depan bagi merealisasikan matlamat Selangor rendah karbon menjelang 2030.

Katanya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khas dengan kerjasama Malaysian Institute of Planner (MIP) itu, tujuh pemaju perumahan terlibat sebagai penaja korporat dengan jumlah kutipan keseluruhan RM45,000.

“Menerusinya 35 pokok akan ditanam di sekitar kawasan tanah lapang awam BK 3/1 dan pokok berkenaan akan didaftarkan atas nama penaja di laman sesawang Kempen Penanaman 100 juta Pokok,” katanya.

 


Pengarang :