Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) di kawasan awam pada hujung minggu untuk kemudahan orang ramai berurusan. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA berjaya kutip RM335 juta cukai taksiran, melebihi sasaran 2023

SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengutip cukai taksiran semasa sebanyak RM335 juta setakat awal Disember ini, maklum pemangku datuk bandar.

Cheremi Tarman berkata kutipan itu melebihi 100.01 peratus daripada jumlah sasaran iaitu RM296 juta untuk tahun ini.

“Kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM67.8 juta atau 55 peratus berbanding sasaran jumlah keseluruhan tunggakan iaitu sebanyak RM40.6 juta,” katanya selepas mesyuarat penuh MBSA semalam.

Cheremi menjelaskan pihaknya akan mempergiat sekatan urus niaga dan tindakan mahkamah (i-Sekat) tahun depan terhadap individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan.

“Sehingga kini kita berjaya mengutip RM52 juta sejak i-Sekat dilaksana pada 2017.

“Tunggakan ini meliputi kompaun tempat letak kenderaan, cukai taksiran, lesen, sewa, bil elektrik dan kos pembersihan lot kosong,” katanya.

Sementara itu,  Cheremi turut berkongsi MBSA berjaya merangkul 27 anugerah termasuk Anugerah Khas bagi kategori PBT paling aktif melaksanakan inisiatif rendah karbon.

“Anugerah ini diterima menerusi Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation baru-baru ini,” katanya.


Pengarang :