Skuad sepak takraw negara raih pingat perak acara antara regu lelaki selepas tewas kepada Thailand di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Sistem kiraan 15 mata diwajibkan untuk sepak takraw mulai 1 Februari 2024

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menegaskan pelaksanaan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa adalah wajib bermula 1 Februari tahun depan.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata badan induk antarabangsa berkenaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan garis panduan baharu itu.

“Mana-mana pihak atau persatuan yang enggan menggunakan perubahan ini akan diberi amaran keras dan jika terus berdegil akan dinasihat. Namun, sekiranya ia berterusan (mereka) berdepan tindakan daripada ISTAF.

“Semua pengadil ISTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) juga diarahkan agar mematuhi peraturan baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem kiraan baharu itu diluluskan semasa mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia ke-36 Piala Raja Thai 2023 pada 15 Julai lalu.

Menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, regu pertama yang meraih mata ke-17 akan muncul pemenang.

Selain itu, setiap regu juga kini memperoleh satu servis sahaja berbanding tiga sebelum ini bagi semua pertandingan di dalam dan luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :