Kanak-kanak mandi sebelum dikhatankan pada program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

110 kanak-kanak sertai program Grand Sunathon Parlimen Hulu Langat

HULU LANGAT, 24 DIS: Seramai 110 kanak-kanak sekitar Hulu Langat menyertai Program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, hari ini.

Acara bermula meriah dengan kanak-kanak terlibat berendam terlebih dahulu dalam kolam renang mudah alih sebelum disirami dengan pancutan air dari pili jentera bomba.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Tazley Nik Nordin (belakang, tengah) bersama kanak-kanak pada program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Tazley Nik Nordin berkata lebih RM20,000 diperuntukkan bagi program anjuran bersama Masjid Raja Muda Musa dan Pertubuhan Bantuan Perubatan Malaysia (MMAS) itu.

“Untuk program hari ini ibu bapa hanya perlu membayar RM50 bagi setiap peserta yang mana jika di klinik atau hospital di luar mungkin mencecah sekurang-kurangnya RM150 untuk prosedur berkhatan.

Anggota Bomba dan Penyelamat menyiram kanak-kanak pada program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Hulu Langat pada 24 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Disebabkan tahun ini dapat sambutan menggalakkan dan Ahli Parlimen Hulu Langat (Mohd Sany Hamzan) juga gembira dengan hasilnya, kita cadang tahun depan untuk teruskan lagi mungkin dalam skala lebih besar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu menurut Pengerusi MMAS merangkap Ketua Biro Pemuda Masjid Raja Muda Musa, Hanafi Jallaludin, seramai 10 doktor disediakan bagi menjalankan prosedur berkhatan kepada peserta berusia antara lima hingga 12 tahun itu.

“Doktor yang ramai disediakan bagi memastikan program berjalan lancar dan peserta serta ibu bapa tidak perlu menunggu lama.

“Alhamdulillah kita komited untuk terus bekerjasama meneruskan program sebegini yang secara tidak langsung mengurangkan beban ibu bapa,” katanya.

 


Pengarang :