Pemandangan runtuhan masjid dan kediaman penduduk Palestin yang musnah akibat serangan Israel di tengah Semenanjung Gaza pada 29 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Mesir seru gencatan senjata segera di Gaza, sambut baik mekanisme PBB

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Mesir menyambut baik penubuhan mekanisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempercepatkan penyediaan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ia termasuk melantik penyelaras kanan kemanusiaan dan penyelaras pembinaan semula yang ditugaskan untuk memudahkan, menyelaras dan memantau bantuan kemanusiaan.

Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa negara itu mengakui kepentingan resolusi Majlis Keselamatan yang diterima pakai pada 22 Disember 2023 sebagai langkah positif ke arah meringankan penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Mesir menegaskan bahawa resolusi itu tidak merangkumi gencatan senjata serta-merta yang dianggap penting untuk menamatkan pertumpahan darah di Gaza.

Resolusi Majlis Keselamatan sejajar dengan resolusi Sidang Kemuncak Arab-Islam baru-baru ini yang menyeru kepungan di Semenanjung Gaza dihentikan.

“Resolusi PBB secara khusus menggesa pembukaan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan penubuhan mekanisme PBB segera untuk mengatasi halangan yang dikenakan oleh Israel terhadap penghantaran bantuan,” menurut kementerian itu.

Kenyataan itu mengulangi komitmen Mesir untuk bekerjasama rapat dengan organisasi antarabangsa yang menyokong keamanan bagi mencapai gencatan senjata menyeluruh.

Matlamatnya adalah untuk memelihara nyawa rakyat Palestin, mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza dan membuka jalan kepada proses damai yang membawa kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dalam rangka penyelesaian dua negara.

Resolusi UNSC bertajuk “Memantau dan Meningkatkan Bantuan ke Gaza” yang diterima pakai di New York itu menyeru agar akses kemanusiaan segera, selamat dan diperluaskan bagi mewujudkan persekitaran yang mampan tanpa permusuhan.

– BERNAMA


Pengarang :