AGENDAJENAYAH

Lelaki maut dipukul dengan kayu, botol, mayat ditanam di kawasan semak

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Gara-gara perselisihan faham, lelaki maut dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh, Rawang, Selangor semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Ariffin Mohamad Nasir berkata dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa dilaporkan datang ke rumah berkenaan bersama empat suspek termasuk teman wanitanya untuk berbincang masalah hubungan mereka.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan pergaduhan di rumah berkenaan. Pada 5 petang seorang daripada ahli keluarga itu terdengar perbualan antara suaminya dan abang iparnya untuk menanam satu mayat.

“Berikutan itu, wanita berusia 27 tahun membuat laporan polis pada 11.25 malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis ke tempat kejadian dan menahan tiga beradik termasuk seorang wanita berumur antara 29 hingga 33 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata polis menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan kedudukan mayat terbabit sebelum digali keluar pada 5 pagi tadi dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Ariffin berkata pihaknya kini sedang mengesan empat lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan termasuk suspek utama dan teman wanita mangsa.

Beliau berkata ketiga-tiga beradik berkenaan kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di 012-6718024 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262242.

– BERNAMA


Pengarang :