Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Dusun Tua di Taman Wangsa, Cheras pada 24 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNAGENSISELANGOR

Jualan murah beri manfaat kepada ramai keluarga, perluas lokasi JER

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KAJANG, 24 DIS: Program jualan murah barangan asas memberi manfaat kepada ramai keluarga khususnya mereka yang berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua hari ini.

Wakil rakyatnya berkata pengunjung hadir seawal 8 pagi untuk mendapatkan nombor giliran meskipun program Jualan Ehsan Rahmah (JER) bermula 10 pagi.

“Pemilihan lokasi kali ini tepat memandangkan sambutan Krismas esok. Sebagai wakil rakyat, saya akan pastikan pemilihan lokasi JER di semua kawasan seperti perkampungan dan taman perumahan.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berbual bersama pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Dusun Tua di Taman Wangsa, Cheras pada 24 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Kita mahukan semua golongan rakyat menerima manfaat yang ditawarkan Kerajaan Negeri. Pemilihan JER di sini beri peluang kepada lebih 300 keluarga termasuk miskin bandar berbelanja keperluan asas mereka,” kata Datuk Johan Abdul Aziz.

Beliau ditemui pada program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Wangsa, Cheras di sini hari ini.

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :