Pengguna jalan raya terkandas di laluan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis apabila air melimpah ke jalan raya berikutan hujan lebat pada 23 November 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ratusan kenderaan terkandas di Pos Blau akibat limpahan Sungai Brooke

GUA MUSANG, 24 DIS: Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan air Sungai Brooke melimpahi Jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis di Pos Blau, di sini, seterusnya mengakibatkan laluan itu ditutup kepada semua kenderaan bermula 8 pagi tadi.

Penduduk Orang Asli dari Pos Brooke, Murad Mat, 44, berkata kejadian disedari penduduk 6 pagi tadi.

“Kira-kira 7 pagi tadi, saya keluar pergi bekerja di bandar Gua Musang dan menyedari air melimpah dari anak sungai Brooke mencecah paras paha di atas jalan dan menenggelamkan kira-kira 50 meter laluan utama terbabit.

“Air biasanya memakan masa agak lama untuk surut, menjejaskan perjalanan pengguna. Saya terpaksa berpatah balik ke rumah dan mengambil cuti hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi itu, hari ini.


Pengguna jalan raya terkandas di laluan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis apabila air melimpah ke jalan raya berikutan hujan lebat pada 23 November 2023. Foto Facebook BERNAMA

Penunggang motosikal Hazwan Mat Hazmi, 36, yang dalam perjalanan pulang dari Temerloh, Pahang menuju ke Tanah Tinggi Lojing berkata beliau bersama sembilan rakan konvoi yang lain terkandas sejak 6 pagi tadi.

“Sesampai sahaja di sini pada 6 pagi tadi jalan telah pun ditenggelami air dan kami terkandas sehingga kini kerana air belum surut lagi,” katanya.

Menurut Aminah Zakaria, 45, penduduk dari Kampung Pos Blau berkata kejadian banjir kilat kerap berlaku di kawasan tersebut sekiranya hujan berterusan dalam jangka masa lama.

“Ini kali kelima berlaku banjir tahun ini. Sebelum ini pihak berwajib telah pun membersihkan dan menggali kawasan sungai, tetapi nampaknya masih tiada penyelesaian.

“Harapan saya semoga pihak berwajib dapat memikirkan cara lain untuk mengatasi kejadian ini. Kasihan penduduk dan pengguna yang kerap terhalang dan terkandas kerana ini adalah laluan utama,“ katanya.

Kereta meredah laluan banjir di Lojing-Pos Blau-Kuala Betis selepas jalan itu dinaiki air akibat hujan lebat pada 23 November 2023. Foto Facebook BERNAMA

Tinjauan di lokasi mendapati setakat 12 tengah hari, lebih 100 kenderaan tidak dapat meneruskan perjalanan melalui laluan berkenaan.

Sementara itu laman sesawang https://bencanaalam.jkr.gov.my turut memaklumkan selain Jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis, jalan masuk ke Felda Aring dan jalan masuk ke Ciku 7 dan Ciku 8 turut ditutup kepada semua kenderaan.

– BERNAMA


Pengarang :