Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Jeram di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 24 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 18,000 penduduk Kuala Selangor terima manfaat program JER

KUALA SELANGOR, 26 DIS: Lebih 18,000 keluarga berpendapatan rendah menerima manfaat daripada 72 penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Kuala Selangor sejak Ogos lalu.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata pihaknya sering memohon Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) supaya program jualan murah kerap diadakan di daerah itu.

“Ini program JER yang ke-72 di Kuala Selangor sejak pilihan raya negeri lalu. Biasanya kita memang buat setiap bulan di beberapa lokasi, dan di Puncak Alam merupakan yang terakhir untuk tahun ini.

“Sasaran hari ini antara 250 hingga 300 pengunjung tetapi biasanya yang datang lebih daripada 300 orang. Sambutan memang amat menggalakkan,” kata Mohd Maskor Tumiran kepada Selangorkini.

Timbalan Pengerusi KRT Fasa 2 Bandar Puncak Alam, Mohd Razib Mohd Talib

Beliau yang hadir mewakili Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemui selepas meninjau program JER di perumahan Fasa 2 Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Fasa 2 Mohd Razib Mohd Talib berkata pihaknya mengagihkan nombor giliran kepada penduduk yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, pihak jawatankuasa menyenaraikan dan menghubungi keluarga kurang berkemampuan bagi memastikan program JER mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Penjualan hari ini dilakukan secara bersasar. Kita pergi ke penduduk yang benar-benar memerlukan, dan kita senaraikan nama mereka. Mereka yang datang secara terus, kita hanya sediakan 55 nombor sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung, Ahmad Bustaman Mat Jusoh, 42, amat menantikan kehadiran trak JER ke Puncak Alam sejak pertama kali mengunjungi program jualan murah itu pertengahan tahun ini.

Peniaga pasar malam itu memaklumkan beliau sentiasa melihat laman sosial Facebook PKPS bagi mengetahui perkembangan kunjungan trak JER ke lokasi berhampiran.

Ng Chiew Hiong, 63

“Ini kali kelima saya datang program JER. Saya memang sentiasa tunggu kalau mereka ada datang ke Puncak Alam atau kawasan sekitar. Hari ini mereka datang dan kebetulan saya ada waktu lapang.

“Saya harap program ini diperluas dan diteruskan sampai bila-bila kerana ia amat membantu keluarga saya khususnya pada waktu ekonomi kurang memberangsangkan,” katanya.

Bagi suri rumah, Ng Chiew Hiong, 63, program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri memberi penjimatan berganda terutamanya kepada golongan tidak bekerja sepertinya.

“Saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan program JER amat membantu individu seperti saya membeli barangan keperluan dapur,” katanya yang hadir bersama jiran.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Ia dianjurkan di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain menjalin kerjasama dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.


Pengarang :