HULU SELANGOR, 27 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menubuhkan tabung wakaf bagi membantu golongan memerlukan.
Yang dipertuanya berkata Tabung Endowmen yang ditubuh sejak Disember 2020 kini menjadi ikutan beberapa PBT lain antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
“Mereka hantar wakil untuk belajar pengurusan dan mendengar pengalaman. Setakat ini tabung itu menerima sumbangan lebih 1,000 pihak termasuk individu. Kebanyakan penyumbang merupakan pembekal MPHS.
“Ada yang menyalur sumbangan secara bulanan dan berkala. Usaha ini sekali gus dapat menjamin kelangsungan bantuan berterusan kepada untuk golongan memerlukan,” kata Mohd Hasry Nor Mohd.
Beliau ditemui ketika Majlis Minum Petang sempena sambutan ulang tahun ke empat Tabung Endowmen MPHS di Fraser Valley semalam.
Selain meraikan para penyumbang, MPHS turut menyerahkan sejumlah sumbangan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat Hulu Selangor bagi menampung kos baik pulih pusat transit.
“Setakat ini, tabung ini sudah memberi manfaat kepada 1,465 pelajar dengan menyalur bantuan pembiayaan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru,” katanya.