AGENSISELANGOR

Permohonan rancangan khas pendidikan untuk tingkatan satu dibuka mulai 3 Januari

SHAH ALAM, 27 DIS: Yayasan Selangor membuka permohonan program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor (RKPYS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pelajar tingkatan satu mulai 3 Januari depan.

Yayasan Selangor meneurusi Facebook memaklumkan permohonan khusus kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dibuka sehingga 15 Januari dengan tarikh akhir penghantaran dokumen pada 26 Januari.

“Antara kriteria kelayakan permohonan adalah mendapat sekurang-kurangnya TP3 untuk semua matapelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah.

“Pelajar juga bersekolah di sekolah rendah KPM atau sekolah swasta yang berdaftar di KPM dengan keutamaan diberikan kepada pelajar luar bandar,” katanya.

Yayasan Selangor memaklumkan, pemohon atau ibu atau bapa mestilah lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun serta pendapatan ibu bapa kurang RM2,000 sebulan.

“Untuk makluman lanjut, sila layari laman web Yayasan Selangor menerusi pautan yayasanselangor.org.my,” katanya.

RKPYS merupakan program kerjasama antara KPM dan Yayasan Selangor bagi tujuan pengambilan dan penempatan pelajar tingkatan satu ke sekolah terkemuka di Kuala Lumpur dan Selangor.

Program ini dilaksana bagi membantu pelajar miskin di Selangor tetapi berpotensi dan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran, dengan memberikan kemudahan pendidikan yang terbaik.

Pelajar terpilih akan diberikan biasiswa selain bimbingan akademik seperti kelas tuisyen, latih tubi dan seminar peperiksaan oleh guru pakar terlatih.


Pengarang :