Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 27 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JER DUN Sungai Tua dapat sambutan, 200 pek daging, ikan habis kurang sejam

GOMBAK, 27 DIS: Ikan dan daging antara produk yang habis terjual dalam tempoh kurang sejam pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, hari ini.

Penyelarasnya Mohamad Nazif Zulkifli berkata ratusan pengunjung mula beratur sejak 7 pagi bagi mendapatkan aneka barangan asas murah pada jualan di padang awam Batu Caves di sini.

Penyelaras Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua Mohamad Nazif Zulkifli

“200 pek daging dan 200 pek ikan habis terjual kurang sejam sejak kaunter jualan dibuka pada jam 9.30 pagi. Kita mula agihkan 300 nombor mulai 9 pagi

“Kami tetapkan had untuk satu papan telur, seekor ayam dan sekampit beras bagi setiap pembeli selepas pukul 11 pagi untuk beri ruang kepada semua pengunjung dapatkan keperluan mereka selain elakkan kesesakan,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 27 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Ia dianjurkan di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain menjalin kerjasama dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Program itu dianjurkan di lebih 2,400 lokasi seluruh negeri dan memanfaatkan lebih lima juta penduduk.


Pengarang :