Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 27 DIS: Aplikasi TikTok Tourism Selangor menjadi antara rujukan utama pelancong domestik dan antarabangsa untuk mendapatkan maklumat percutian di negeri ini.
Justeru, pengurus komunikasi korporatnya berkata pihaknya beralih menggunakan 95 peratus usaha promosi lokasi pelancongan baharu dan terkenal secara digital.
“Akaun aplikasi TikTok Tourism Selangor mempunyai hampir 200,000 pengikut dengan jumlah 2 juta kesukaan (likes) selain memperoleh lebih 500,000 yang melihat muat naik (view).
“Ini membuktikan aktiviti promosi melalui platform digital berjaya dengan rata-rata pengunjung akan membuat rujukan terlebih dahulu bagi merancang perjalanan mereka berkunjung ke tempat menarik di Selangor,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat ketika dihubungi.
Menurut beliau antara promosi yang giat dijalankan adalah agropelancongan Sungai Panjang, Rumah Hutan Terapi Alam, Hulu Selangor, Taman Tema Air Splash Mania, Gamuda Cove dan Skyline Luge di Rawang.
Terdahulu, Ahmad Nazri berkata jumlah kedatangan pelancong tempatan dan asing di Selangor mencecah 4.8 juta antara Januari hingga September tahun ini, dengan beberapa daerah menjadi tumpuan.
Tambah beliau Petaling menerima pengunjung tertinggi sekitar 2.8 juta berikutan tarikan gastronomi seperti kafe dan pusat membeli-belah.