AGENDASUKANKINI

Bekas pemain bola sepak negara, Shaharuddin Abdullah meninggal dunia

IPOH, 28 DIS: Bekas pemain bola sepak yang mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972, Shaharuddin Abdullah meninggal dunia akibat penyakit asma pada usia 75 tahun di Hospital Taiping awal pagi tadi.

Anak keduanya Shahrina Shaharuddin, 42, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak pada kira-kira pukul 5.07 pagi.

“Arwah memang menghidap penyakit asma sejak dua tahun lalu, dan Sabtu lepas dia mengadu sakit jadi kami bawa ke hospital.

“Arwah kemudian ditidurkan pada hari sama dan oksigen pula tidak stabil. Selepas dimasukkan ke wad ada perkembangan positif pada Isnin lepas, namun beberapa hari ini tiada respon daripadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata jenazah akan disembahyangkan di Surau Nurul Hidayah Kampung Bukit Jana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting selepas Zohor.

Shaharuddin yang pernah mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Munich 1972 bersama pasukan Harimau Malaya, meninggalkan tujuh orang anak.

Allahyarham yang diberi gelaran seperti ‘The Black Cat’ dan ‘Sharpshooter’ mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967.

– BERNAMA


Pengarang :